Cinta
jarak jauh bukan satu perkara yang mudah ditangani kerana apabila orang
yang begitu disayangi berada jauh dari sisi, hati merindudendam dan
kepercayaan terhadap pasangan harus menebal agar tidak dimamah cemburu
ketika menunggu waktu untuk bersama kembali.
Ini merupakan tips
yang boleh diguna pakai oleh mereka yang sedang bercinta jarak jauh
dalam mengekalkan hubungan cinta masing-masing walaupun jarak menjadi
penghalang.
1. Jelas dengan Harapan dan Batasan
Sebelum
bermula untuk meneroka dunia cinta jarak jauh, pasangan harus mempunyai
harapan dan batasan. Pada Julai 2007, Yusry terpaksa berpindah ke Kuala
Lumpur kerana mendapat tawaran sebagai pengurus di sebuah syarikat
swasta dengan gaji RM80 ribu setahun. Teman wanitanya, Lisa tidak boleh
turut serta kerana mempunyai komitmen kerja di Johor Bahru dan mereka
belum merancang untuk mendirikan rumahtangga dalam tempoh yang terdekat.
Untuk memulakan perhubungan cinta jarak jauh mereka, Yusry dan Lisa
membuat perjanjian untuk telefon at least sekali sehari tidak kira
bagaimana sibuk pun mereka. Mereka berjanji tidak akan meluahkan masalah
dengan teman lain yang berlainan jantina kerana apabila berjauhan, hati
vulnerable dengan perhatian yang diberi orang lain. Jika mereka punya
cuti, masing-masing akan cuba untuk berjumpa. Jadi dengan mengenalpasti
harapan dan batasan, pasangan akan lebih memahami apa yang perlu dan apa
yang jangan dilakukan ketika berjauhan.
2. Menghargai Kebebasan
Jangan sentiasa murung dan berteman airmata ketika berjauhan akibat
dibuai
rindu yang amat sangat. Dia berada jauh dari sisi, tentu sekali
perasaan rindu begitu kuat sekali tetapi jika rindu itu perlu diratap
sehingga membawa mati atau sekurang-kurang membutakan mata anda sendiri,
bukankah tidak wajar begitu? Ketika berjauhan daripada
pasangan anda, hargai kebebasan yang dikecapi dengan melakukan
aktiviti-aktiviti yang membuat anda ceria seperti menonton wayang
dengan teman-teman, membaca buku kegemaran ketika sunyi atau menonton
bola hingga lewat pagi. Yusry yang berjauhan dengan teman wanitanya,
dia sering menghabiskan masa dengan X-box kerana dia tahu ketika dia
bersama
dengan Lisa, X-box perlu disimpan dahulu. Menghargai kebebasan ketika
berjauhan akan membentuk diri anda untuk menjadi seorang individu yang
matang dan dalam pada masa yang sama membina komitmen anda terhadap
perhubungan.
3. Luahkan Perasaanmu
Kalau dekat-dekat terasa malu untuk meluahkan apa yang terpendam,
inilah masanya untuk intim dengan pasanganmu. Walaupun berada jauh
antara satu sama lain, kata-kata indah yang diluahkan boleh menjadi
penawar
rindu anda kepada si dia. Sesekali guna balik pos biasa dengan
menghantar surat cara lama kepada pasangan anda berbanding dengan emel.
Nyatakan bagaimana perasaan anda terhadap pasangan anda di dalam surat
itu. “Ingat lagi masa kita baru jumpa dulu? Abang tak berani pandang
muka Ina. Tapi Ina suka tengok Abang malu-malu.” Luahkan apa yang
terpendam dan kongsikan perasaanmu bersama si dia kerana kata-kata mampu
memanah jiwa, memupuk asmara.
4. Pancawarnakan Kehidupanmu
Untuk suami isteri yang berjauhan, jangan malu bercerita tentang seks
atau berkongsi fantasi ketika berjauhan. “Kalau abang ada di rumah
sekarang,
sayang nak buat apa pada abang?” Dengan berkongsi fantasi dan
keinginan, pasangan suami isteri akan dihujani chemistry yang
mengujakan! Untuk mereka yang masih bujang, hantar kad yang menarik
atau
kadang-kadang mungkin boleh kejutkan dia dengan kiriman bunga atau
hadiah. Ketika pulang dari kerja, Zeti menjerit suka apabila terlihat
sebuah bungkusan diterima daripada buah hatinya di Sarawak yang
mengandungi sepasang baju dengan nota, “Aku merinduimu”.
5. Mempercayai Satu Sama Lain
Percaya
perlu menebal dalam diri. Tak guna bertunjangkan cemburu dalam melayari
perhubungan jarak jauh. Perasaan prasangka dan tak percaya hanya akan
merosakkan perhubungan. Apabila menelefon Yusry, Lisa selalu merengek
kenapa mereka terpaksa berpisah dan betapa sukarnya perhubungan jarak
jauh. Daripada merungut tentang kesukaran apabila berjauhan, mulakan
perbualan dengan bertanya khabar tentang dia dan apa aktiviti yang dia
lakukan. Sentiasa ceria dan maintain positivity agar anda tidak bosan
walaupun berjauhan.
Secara ringkasnya, bukan jarak yang
menjadi sebab terputusnya hubungan, tetapi kurang memahami pasangan dan
kurang komitmen dalam perhubungan sering menjadi faktor penyebab. Tidak
ada apa yang perlu digusarkan apabila berjauhan jika masing-masing
komited dengan pasangan masing-masing dan berusaha untuk memastikan
perhubungan yang sihat dan berkekalan.